Pengerusi JKKK yang juga Ketua Kampung Tenai Air Gelugor , Baharudin A Rashid atau Tok Din dipilih semula sebagai Yang Di Pertua Persatuan Ketua-Ketua Kampung Daerah Tampin , baru-baru ini .
Beliau dipilih sebulat suara dalam majlis mesyuarat agung persatuan itu di rumah rehat kerajaan Tampin dimana YB Dato Mohd Kamil A Aziz , Adun Gemencheh telah berkenan merasmikan mesyuarat agung itu .
Hadir sama dalam majlis itu ialah KPPD Gemas Encik Razali Bakar , Penghulu Gemencheh dan wakil daripada Persatuan Ketua Kampung Negeri Sembilan .
Dalam ucapannya , Tok Din meminta supaya pertadbiran JKKK di pisahkan daripada politik bagi menjamin keberkesanan peranan JKKK dalam menjalankan tugasnya kepada masyarakat kampung .
Katanya , memang cadangan awal perlantikan JKKK adalah daripada cawangan tetapi satelah perlantikan , sewajarnya Ketua Kampung diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menjalankan tugasnya .
Dengan cara itu katanya , Ketua Kampung dapat menjalankan fungsinya dengan berkesan dan tanpa ada rasa bimbang bahawa tindakan yang diambil mendapat gangguan dari pihak lain .
Selain itu , beliau juga berharap supaya elaun pengerusi dan setiausaha JKKK dikaji semula supaya kadar yang ada sekarang dapat di pertingkatkan .
Menurutnya , keadaan ekonomi semasa menunjukan jumlah elaun itu terlalu kecil dan tidak setimpal dengan beban tugas dan tanggungjawab seseorang ketua kampung .
" Ketua kampung adalah segala-galanya di kampung dari mesyurat di daerah , dikampung sampaikan kematian dan kemalangan serta pertikaian rumah tangga juga menjaga tugas Ketua kampung .
" Malahan ada Ketua Kampung yang terpaksa menyumbang dalam bentuk kewangan dan tenaga jika ada anak buah yang menghadapi musibah atau kesulitan ," katanya .
Beliau berharap , semua Ketua Kampung mempertingkatkan pengetahuan masing-masing supaya seiring dengan peredaran semasa .